Follower's

[1/2/20011][8:39 AM]
I'm offline
haiii

Thursday, August 21, 2008

Salam Dari Beijing: Chong Wei harus jadi permulaan kejayaan besar

Awal pagi semalam, penulis dikejutkan oleh panggilan telefon dari rakan di Jakarta yang mahu tahu perkembangan mengenai pemain badminton negara, Lee Chong Wei.

Rupa-rupanya sahabat ini mengetahui Chong Wei bukan sahaja akan mendapat ganjaran RM300,000 serta pencen RM3,000 sebulan, malah akan diberikan gelaran Datuk dari Pulau Pinang.

"Bertuah Chong Wei kerana begitu dihargai pemerintah biarpun cuma pulang dengan pingat perak Olimpik.

"Saya pasti segalanya akan lebih hebat jika pingat emas yang dibawa pulang," kata teman itu yang penulis tahu sering sinis orangnya.

Penulis hanya tergelak dan sekadar mengiyakan sahaja sambil berkata, "Itulah kesannya selepas kempunan pingat selama 12 tahun. Kami sudah terlalu menunggu saat ini, bukan seperti Indonesia."

Maklumlah bagi Malaysia untuk mendapat kejayaan dalam bidang sukan sememangnya cukup sukar dan tidak hairanlah apabila dengan sedikit kejayaan yang ada, ramailah yang mahu berlaga bahu.

Alangkah baiknya jika sokongan yang ada ketika ini hadir ketika pemain itu memerlukan sokongan moral khususnya pada 2006 dan 2007 apabila Chong Wei menerima kecaman hebat akibat kegagalannya di Kejohanan Dunia.

Harapnya sokongan kerajaan negeri begitu dapat juga disalurkan kepada persatuan badminton negeri masing-masing, agar lebih banyak 'Lee Chong Wei' dapat dilahirkan.

Tapi itulah hakikatnya. Tiada siapa yang mahu bersusah payah, tumpang kejayaan orang menjadi pilihan.

Cuma penulis harap Chong Wei, pemain kelahiran Parit Buntar, Perak sebelum berpindah ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang, dan orang di sekelilingnya dapat menyedari, tugas mereka belum selesai.

Chong Wei hari ini boleh dilupakan begitu sahaja esok. Pengalaman skuad 1992 yang menjuarai Piala Thomas perlu dijadikan iktibar. Mereka dirai bagai dunia ini milik mereka selama-lamanya tapi apabila gagal selepas itu, orang yang sebelum ini sering mengepit mereka, tiba-tiba lenyap dari sisi.

Sambutan besar-besaran juga tidak membawa sebarang kebaikan. Tidak perlu kita memandang terlalu jauh, lihatlah apa jadi selepas Hafiz Hashim dan gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong selepas masing-masing menjuarai Seluruh England pada 2003 dan 2006.

Penulis tidak menyalahkan Chong Wei jika dia mahu menikmati saat-saat begitu kerana karier seseorang pemain adalah singkat dan tiada salah untuknya berbuat demikian.

Malah, siapa tahu selepas mendapat gelaran itu dan jika ada jodohnya dengan Wong Mew Choo, Malaysia bolehlah berbangga dengan pemain yang hadir di gelanggang dengan status Datuk dan Datin.

Cuma janganlah kejayaan sekadar naib juara Olimpik sudah cukup buat semua kerana ia sekadar merendahkan tanda aras buat sukan negara. Ada empat lagi atlit negara daripada 33 yang layak, akan bersaing sebelum Olimpik berakhir dan Togo yang hadir dengan empat atlit sahaja, pulang dengan satu gangsa.

Empat tahun sebelum Sukan Olimpik 2012 bermula bukan tempoh yang singkat dan wajar perancangan padu dilakukan jika tidak mahu kempunan untuk 12 tahun lagi.

Kita tidak mahu kejayaan bermusim yang hadir tidak tentu masa tetapi biarlah sesuatu yang konsisten.

Kejayaan pingat perak Chong Wei harus menjadi titik mula kepada kejayaan lebih besar, bukan untuk melekakan kita selepas terlepas bebanan. Itulah yang peminat badminton negara mahu lihat, bukan siapa boleh berikan ganjaran yang lebih hebat.


Don't forget to comment when you are done reading

0 comments: