Follower's

[1/2/20011][8:39 AM]
I'm offline
haiii

Tuesday, March 17, 2009

Brunei gugur tuntutan

ABDULLAH dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah
bertukar-tukar dokumen di Istana Nurul Iman di
Bandar Seri Begawan, semalam.


Limbang tidak lagi jadi perebutan, kekal hak Malaysia

BANDAR SERI BEGAWAN: Brunei Darussalam semalam secara rasmi menggugurkan tuntutannya ke atas Limbang di utara Sarawak, sekali gus mengakhiri episod pertikaian wilayah berkenaan yang berlarutan sejak sekian lama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata ketetapan itu adalah sebahagian daripada persetujuan yang dicapai menerusi rundingan perjanjian bersama Malaysia-Brunei berhubung isu persempadanan darat dan maritim membabitkan kedua-dua negara

"Rundingan mengenai isu persempadanan ini berlangsung sejak 1995 dan kini perkara pokoknya sudah diselesaikan manakala butiran terperinci akan dibincang jawatankuasa yang bakal dibentuk. Ini termasuk perkara berkaitan (tuntutan) Limbang yang memang sudah diketahui semua pihak.


"Ia kini selesai dan Brunei telah menggugurkan isu ini. Limbang kekal menjadi sebahagian daripada Malaysia, selaku wilayah kita," katanya kepada pemberita di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei, di sini semalam.

Isu mengenai tuntutan ke atas Limbang, yang kedudukannya diapit oleh daerah Brunei-Muara dan Temburong (ke arah Sabah) timbul setiap kali masalah persempadanan Malaysia-Brunei dibangkitkan sejak pembentukan Malaysia pada 1983.

Daerah itu, yang mempunyai keluasan 3,978 kilometer persegi, didiami penduduk etnik Melayu, Lun Bawang, Cina, Kedayan, Iban, Bisaya, Kelabit, Tagal dan Penan. Ia menjadi sebahagian Sarawak ketika pemerintahan James Brooke pada 1890. Apabila Sarawak mencapai kemerdekaan dan menganggotai Malaysia pada 1963, Limbang kekal sebagai satu daripada daerahnya.

Abdullah, yang dalam rangka lawatan dua hari ke sini, berkata dengan selesainya masalah itu, Brunei dan Malaysia memasuki era baru dalam perhubungan dua hala dan kerjasama pelbagai bidang.

"Saya ingin menjunjung kasih kepada Tuanku Sultan Hassanal Bolkiah dan kerajaan Brunei atas kerjasama yang diberi.

"Kita juga yakin penyelesaian isu tuntutan itu dicapai tanpa ada perkara yang menimbulkan sebarang perasaan tidak senang hati atau negatif dan Insya-Allah, ia akan membawa kebaikan kepada kedua-dua negara," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Brunei di Istana Nurul Iman, sebelum kedua-duanya menandatangani Surat Pertukaran (LoE) yang antara lain mengandungi beberapa prinsip kerjasama untuk dilaksanakan ke arah menentukan persempadanan darat dan maritim dua negara.

Antara delegasi Malaysia yang hadir ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari.

Delegasi Brunei pula membabitkan Putera Mahkota, Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah; Menteri Hal Ehwal Luar dan Perdagangan, Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Menteri Hal Ehwal Luar dan Perdagangan Kedua, Pehin Datuk Seri Setia Lim Jock Seng.

Dalam kenyataan bersama Abdullah dan Sultan Hassanal Bolkiah yang dikeluarkan semalam, kedua-dua pihak bersetuju bahawa:
  • LoE itu memuktamadkan persempadanan maritim Malaysia-Brunei, pewujudan Kawasan Aturan Komersial (CAA) bagi minyak dan gas, penentuan sempadan darat Malaysia-Brunei serta hak laluan maritim yang tidak boleh dicabuli;
  • Penyelesaian isu persempadanan maritim menentukan ketetapan sempadan laut, pelantar benua dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) kedua-dua negara. Malaysia dan Brunei berhak melaksanakan undang-undang dan peraturan, di samping memulakan pembangunan baru di perairan sendiri;
  • Persempadanan darat Malaysia-Brunei akan diselesaikan berdasarkan lima perjanjian bersejarah sedia ada antara kerajaan Sarawak dan Brunei;
  • Pertukaran Surat itu mencerminkan kemampuan kedua-dua negara mencapai penyelesaian yang menyeluruh, adil dan memanfaatkan semua pihak;

  • Pegawai kedua-dua negara akan mengambil langkah susulan, selain memantau pelaksanaan penuh segala peruntukan yang terkandung dalam dokumen terbabit; dan

  • Kedua-dua pemimpin yakin LoE itu akan membuka laluan ke arah pembentukan perkongsian strategik dan kerjasama lebih erat dalam pelbagai bidang terutama pelaburan dan perdagangan, sumber tenaga dan hidrokarbon, pelancongan pendidikan, pertanian, infrastruktur, perbankan, industri halal dan hubungan sesama penduduk dengan tumpuan kepada Sabah dan Sarawak.
_____________________________________________________________________

Chong Wei bukti telahan salah

Yongbo akui pemain nombor satu dunia itu mampu ancam dominasi China


Rasa sangsi yang beraja dalam sanubari - betapa Lee Chong Wei belum berupaya menjustifikasikan status sebagai pemain nombor satu dunia - sudah terjawab di St Jakobshalle, Basel, malam kelmarin.

Kemenangan ke atas jaguh China, Lin Dan, buat mengungguli Terbuka Switzerland jadi bukti terbaik menepis telahan betapa lonjakan ke kemuncak ranking dunia itu semata-mata kerana ketiadaan pemain negara Tembok Besar di beberapa saingan antarabangsa.


"Bagi saya, ia bukti bahawa Chong Wei sudah mencapai tahap di mana dia layak dikategorikan dalam kelas tersendiri. Ketika ini, mungkin hanya dia dan Lin Dan di posisi itu.


"Malah Li Yongbo (ketua jurulatih China) sendiri akui bahawa Chong Wei adalah satu-satunya pemain yang boleh menjelmakan ancaman terhadap dominasi mereka," kata jurulatihnya, Misbun Sidek.

Selain Chong Wei, peminat badminton negara juga turut ceria, kelmarin selepas pasangan beregu, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong juga gah muncul juara menewaskan pasangan Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen 11-14, 21-18.

Namun, Misbun sedar kemenangan 21-16, 21-16 ke atas Lin Dan itu hanya menjamin satu realiti - betapa juara Olimpik dan dunia itu akan mempertingkatkan lagi tahap persembahan untuk menundukkan Chong Wei.

"Kita perlu ingat bahawa Lin Dan tidak akan duduk diam. Malah saya jangkakan akan ada ketika selepas ini, Chong Wei kalah dengannya. Mungkin tahun ini, sasaran Lin Dan menang kejohanan dunia dan sudah tentu dia akan menyiapkan diri.

"Jadi, apa yang perlu dilakukan untuk Chong Wei ialah sentiasa bersedia. Mungkin akan ada beberapa kekalahan, tetapi Chong Wei tidak akan kalah semuanya," kata Misbun.

Bukti itu ketara kerana selepas tiga kekalahan berturut-turut - pada final Sukan Olimpik, Terbuka China dan Seluruh England - Chong Wei berjaya memenangi pertentangan, kelmarin.

"Untuk harapkan Chong Wei bangkit dan menang setiap kali dia kalah kepada Lin Dan, itu mungkin mustahil. Kerana kualiti rakan sepelatih dimiliki Lin Dan jauh lebih baik dengan apa yang ada untuk Chong Wei.

"Chong Wei harus sentiasa cuba dan tidak menyerah kalah. Kerana atas segala usaha dan kesungguhannya, pasti akan ada ketikanya Lin Dan menampakkan kegoyahan, dan dia harus sedia untuk memanfaatkannya lagi," kata Misbun.


Don't forget to comment when you are done reading

0 comments: