Follower's

[1/2/20011][8:39 AM]
I'm offline
haiii
Showing posts with label Sukan. Show all posts
Showing posts with label Sukan. Show all posts

Saturday, August 8, 2009

Gambar-gambar lucu dalam sukan

Kita selalu digembar-gemburkan dengan sukan akan menyihatkan tubuh badan. Cuma kita tak diberitahu, dalam sukan ada macam-macam. Ini adalah sebab mengapa kalau korang nak gunakan alasan untuk tidak bersukan!


Management stadium kalau masih tak jumpa sebab mengapa tiket tak laku, baik letak jawatan dan jadi janitor!

Pemain pertama: Kau tengok Ultraman semalam. Dia kasi lazer, berkecai raksasa tu. Pemain kedua: Wow, tak sangka I you pun minat Ultraman!

Tengok yang mana sampai dulu kat muka kau. Bola atau kasut aku!


Ok, ini mungkin antara sebab kenapa Barthez digugur daripada pasukan utama Manchester United.


Aku tak nak cakap apa-apa. Tapi bola aku masuk dalam seluar kau!

Kau ni nak apa sebenarnya? Nak bola atau saja nak malukan aku?

Ni nak buat benda tak senonoh pun depan khalayak ramai ke?


Kenapa ketiak aku rasa basah semacam saja?


Don't forget to comment when you are done reading

Tuesday, March 17, 2009

Brunei gugur tuntutan

ABDULLAH dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah
bertukar-tukar dokumen di Istana Nurul Iman di
Bandar Seri Begawan, semalam.


Limbang tidak lagi jadi perebutan, kekal hak Malaysia

BANDAR SERI BEGAWAN: Brunei Darussalam semalam secara rasmi menggugurkan tuntutannya ke atas Limbang di utara Sarawak, sekali gus mengakhiri episod pertikaian wilayah berkenaan yang berlarutan sejak sekian lama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata ketetapan itu adalah sebahagian daripada persetujuan yang dicapai menerusi rundingan perjanjian bersama Malaysia-Brunei berhubung isu persempadanan darat dan maritim membabitkan kedua-dua negara

"Rundingan mengenai isu persempadanan ini berlangsung sejak 1995 dan kini perkara pokoknya sudah diselesaikan manakala butiran terperinci akan dibincang jawatankuasa yang bakal dibentuk. Ini termasuk perkara berkaitan (tuntutan) Limbang yang memang sudah diketahui semua pihak.


"Ia kini selesai dan Brunei telah menggugurkan isu ini. Limbang kekal menjadi sebahagian daripada Malaysia, selaku wilayah kita," katanya kepada pemberita di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei, di sini semalam.

Isu mengenai tuntutan ke atas Limbang, yang kedudukannya diapit oleh daerah Brunei-Muara dan Temburong (ke arah Sabah) timbul setiap kali masalah persempadanan Malaysia-Brunei dibangkitkan sejak pembentukan Malaysia pada 1983.

Daerah itu, yang mempunyai keluasan 3,978 kilometer persegi, didiami penduduk etnik Melayu, Lun Bawang, Cina, Kedayan, Iban, Bisaya, Kelabit, Tagal dan Penan. Ia menjadi sebahagian Sarawak ketika pemerintahan James Brooke pada 1890. Apabila Sarawak mencapai kemerdekaan dan menganggotai Malaysia pada 1963, Limbang kekal sebagai satu daripada daerahnya.

Abdullah, yang dalam rangka lawatan dua hari ke sini, berkata dengan selesainya masalah itu, Brunei dan Malaysia memasuki era baru dalam perhubungan dua hala dan kerjasama pelbagai bidang.

"Saya ingin menjunjung kasih kepada Tuanku Sultan Hassanal Bolkiah dan kerajaan Brunei atas kerjasama yang diberi.

"Kita juga yakin penyelesaian isu tuntutan itu dicapai tanpa ada perkara yang menimbulkan sebarang perasaan tidak senang hati atau negatif dan Insya-Allah, ia akan membawa kebaikan kepada kedua-dua negara," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Brunei di Istana Nurul Iman, sebelum kedua-duanya menandatangani Surat Pertukaran (LoE) yang antara lain mengandungi beberapa prinsip kerjasama untuk dilaksanakan ke arah menentukan persempadanan darat dan maritim dua negara.

Antara delegasi Malaysia yang hadir ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari.

Delegasi Brunei pula membabitkan Putera Mahkota, Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah; Menteri Hal Ehwal Luar dan Perdagangan, Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Menteri Hal Ehwal Luar dan Perdagangan Kedua, Pehin Datuk Seri Setia Lim Jock Seng.

Dalam kenyataan bersama Abdullah dan Sultan Hassanal Bolkiah yang dikeluarkan semalam, kedua-dua pihak bersetuju bahawa:
  • LoE itu memuktamadkan persempadanan maritim Malaysia-Brunei, pewujudan Kawasan Aturan Komersial (CAA) bagi minyak dan gas, penentuan sempadan darat Malaysia-Brunei serta hak laluan maritim yang tidak boleh dicabuli;
  • Penyelesaian isu persempadanan maritim menentukan ketetapan sempadan laut, pelantar benua dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) kedua-dua negara. Malaysia dan Brunei berhak melaksanakan undang-undang dan peraturan, di samping memulakan pembangunan baru di perairan sendiri;
  • Persempadanan darat Malaysia-Brunei akan diselesaikan berdasarkan lima perjanjian bersejarah sedia ada antara kerajaan Sarawak dan Brunei;
  • Pertukaran Surat itu mencerminkan kemampuan kedua-dua negara mencapai penyelesaian yang menyeluruh, adil dan memanfaatkan semua pihak;

  • Pegawai kedua-dua negara akan mengambil langkah susulan, selain memantau pelaksanaan penuh segala peruntukan yang terkandung dalam dokumen terbabit; dan

  • Kedua-dua pemimpin yakin LoE itu akan membuka laluan ke arah pembentukan perkongsian strategik dan kerjasama lebih erat dalam pelbagai bidang terutama pelaburan dan perdagangan, sumber tenaga dan hidrokarbon, pelancongan pendidikan, pertanian, infrastruktur, perbankan, industri halal dan hubungan sesama penduduk dengan tumpuan kepada Sabah dan Sarawak.
_____________________________________________________________________

Chong Wei bukti telahan salah

Yongbo akui pemain nombor satu dunia itu mampu ancam dominasi China


Rasa sangsi yang beraja dalam sanubari - betapa Lee Chong Wei belum berupaya menjustifikasikan status sebagai pemain nombor satu dunia - sudah terjawab di St Jakobshalle, Basel, malam kelmarin.

Kemenangan ke atas jaguh China, Lin Dan, buat mengungguli Terbuka Switzerland jadi bukti terbaik menepis telahan betapa lonjakan ke kemuncak ranking dunia itu semata-mata kerana ketiadaan pemain negara Tembok Besar di beberapa saingan antarabangsa.


"Bagi saya, ia bukti bahawa Chong Wei sudah mencapai tahap di mana dia layak dikategorikan dalam kelas tersendiri. Ketika ini, mungkin hanya dia dan Lin Dan di posisi itu.


"Malah Li Yongbo (ketua jurulatih China) sendiri akui bahawa Chong Wei adalah satu-satunya pemain yang boleh menjelmakan ancaman terhadap dominasi mereka," kata jurulatihnya, Misbun Sidek.

Selain Chong Wei, peminat badminton negara juga turut ceria, kelmarin selepas pasangan beregu, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong juga gah muncul juara menewaskan pasangan Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen 11-14, 21-18.

Namun, Misbun sedar kemenangan 21-16, 21-16 ke atas Lin Dan itu hanya menjamin satu realiti - betapa juara Olimpik dan dunia itu akan mempertingkatkan lagi tahap persembahan untuk menundukkan Chong Wei.

"Kita perlu ingat bahawa Lin Dan tidak akan duduk diam. Malah saya jangkakan akan ada ketika selepas ini, Chong Wei kalah dengannya. Mungkin tahun ini, sasaran Lin Dan menang kejohanan dunia dan sudah tentu dia akan menyiapkan diri.

"Jadi, apa yang perlu dilakukan untuk Chong Wei ialah sentiasa bersedia. Mungkin akan ada beberapa kekalahan, tetapi Chong Wei tidak akan kalah semuanya," kata Misbun.

Bukti itu ketara kerana selepas tiga kekalahan berturut-turut - pada final Sukan Olimpik, Terbuka China dan Seluruh England - Chong Wei berjaya memenangi pertentangan, kelmarin.

"Untuk harapkan Chong Wei bangkit dan menang setiap kali dia kalah kepada Lin Dan, itu mungkin mustahil. Kerana kualiti rakan sepelatih dimiliki Lin Dan jauh lebih baik dengan apa yang ada untuk Chong Wei.

"Chong Wei harus sentiasa cuba dan tidak menyerah kalah. Kerana atas segala usaha dan kesungguhannya, pasti akan ada ketikanya Lin Dan menampakkan kegoyahan, dan dia harus sedia untuk memanfaatkannya lagi," kata Misbun.


Don't forget to comment when you are done reading

Monday, March 2, 2009

Azizulhasni gah di Melbourne

Juarai dua acara pada Kejohanan Sid Patterson Grand Prix 2009
Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang (gambar) tampak sudah menemui kepantasan yang dihendakinya ketika menjuarai dua acara pada Kejohanan Sid Patterson Grand Prix 2009 di Melbourne, lewat kelmarin.

Pelumba ranking nombor satu dunia acara keirin berasal dari Dungun, Terengganu itu, mengungguli saingan acara kesukaannya itu selain perlumbaan scratch gred A, bagi memberikannya dua kejayaan sekali gus.

Selain Azizulhasni, kejohanan itu juga menampilkan Fatehah Mustafa yang juga pelumba tunggal wanita negara berpangkalan di Melbourne - menjuarai tiga acara termasuk keirin, scratch dan handicaped.

Pelumba muda negara, Adiq Husaini pula berkedudukan kedua penyingkiran manakala Hariff Salleh turut muncul pemenang acara scratch gred B dan kedua motor pace.

Walaupun kejohanan itu hanya dianggap sebagai pemanas badan, penampilan Azizulhasni jelas semakin memberangsangkan apa lagi dia bakal berdepan saingan sebenar pada Kejohanan Trek Dunia di Pruskow, Poland, 25 hingga 29 Mac ini.

Pelumba yang diharapkan akan mampu membawa pulang pingat pada Sukan Olimpik London 2012 itu kini dalam fasa persiapan terakhir sebelum ke Pruskow selepas mengungguli dua Piala Dunia yang melayakkannya ke kejohanan paling berprestij itu.

“Tiada lagi kejohanan selepas ini dan saya hanya menantikan Kejohanan Dunia di Pruskow nanti,” kata pelumba berusia 21 tahun itu.

Di Poland nanti, Azizulhasni akan menyarung Jersi Nombor 1 sebagai pelumba utama kejohanan selepas memungut mata terbanyak pada sirkit Piala Dunia sebelum ini.

Dia mengumpul 24 mata selepas menjuarai acara keirin pada dua pusingan di Melbourne dan Beijing sekalipun tidak mengambil bahagian pada Pusingan 1 di Manchester dan Pusingan 3 di Cali, Colombia.

Sebelum ini, pelumba cilik itu menyifatkan dia masih berlatih bagi mendapatkan puncak prestasi di Poland dengan sasaran utama untuk meraih emas pertama buat negara dalam kejohanan utama kalendar berbasikal trek dunia itu.


Don't forget to comment when you are done reading

Friday, January 2, 2009

Misbun dapat semula gaji dipotong

Di sebalik kini terlantar di hospital akibat jangkitan kuman di paru-parunya, ada khabar gembira hadir buat jurulatih badminton negara, Datuk Misbun Sidek, kelmarin.

Ia terjelma dalam bentuk kesediaan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mempertimbangkan langkah 'mengembalikan' potongan 50 peratus gaji yang dikenakan terhadapnya, empat tahun lalu.

Misbun sebelumnya dituding sebagai antara 'pihak bersalah' selepas temasya Sukan Olimpik 2004 di Athens, yang menyaksikan kontinjen negara pulang dengan tangan kosong.

Akibat kegagalan itu, segelintir pihak menerajui usaha untuk menyingkirkan Misbun yang dianggap tidak lagi berkemampuan membimbing pemain negara ke kemuncak pencapaian sebegitu.

Namun Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) ketika itu, Datuk Wira Mazlan Ahmad, adalah antara pihak masih percayakannya dan berjaya memastikan khidmat Misbun diteruskan, biarpun dengan 'harga' tinggi dipotong gajinya sebanyak 50 peratus.

Hasil kepercayaan itu, Misbun membalasnya dengan kegigihan dan kesungguhan membimbing pemain terbukti apabila Lee Chong Wei menamatkan kemarau dengan pingat perak pada Sukan Olimpik Beijing, Ogos lalu.

"Memang sumbangan Misbun terhadap pencapaian pemain-pemain badminton negara kita akui. Kerana itu, saya akan kaji semula (potongan itu). Saya mahu tahu faktor sebenar di sebalik tindakan sebelumnya.

"Saya beri jaminan bahawa ia akan diberikan semula kepadanya selepas mengkaji perkara ini dengan terperinci," kata Ismail Sabri.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, turut memberi jaminan akan memperhalusi isu berkenaan apabila duduk berbincang sebaik Misbun sembuh, tidak lama lagi.






Don't forget to comment when you are done reading

Monday, October 20, 2008

Massa heret Hamilton ke Brazil

Buat perhitungan 'siapa juara' Formula Satu di Interlagos bulan depan

SHANGHAI: Pemandu Britain, Lewis Hamilton memenangi perlumbaan Formula Satu Grand Prix China tetapi dinafikan kejuaraan dunia oleh pencabar terdekatnya Felipe Massa, yang menamatkan saingan di tempat kedua, semalam.

Pemandu McLaren, Hamilton mendahului sepanjang perlumbaan tetapi dia kekal hanya tujuh mata mengatasi Massa, dan memaksa persaingan bagi kejuaraan dunia kepada perlumbaan terakhir dramatik di Brazil, bulan depan.

"Perlumbaan menakjubkan, kereta pula sungguh seronok untuk dipandu buat saya," kata Hamilton. "Sepanjang minggu kami mendapat tuah dan pasukan melakukan tugas yang baik. Kereta pula cukup cemerlang sepanjang minggu.

Juara bertahan dari Ferrari, Kimi Raikkonen di tempat ketiga selepas menyerahkan tempat kedua kepada Massa pada lewat perlumbaan. Juara dunia dua kali Fernando Alonso dari Renault, keempat.

Pemandu BMW Sauber, Nick Heidfeld menduduki tempat kelima mengatasi rakan sepasukan Robert Kubica, seorang lagi pencabar kejuaraan, yang menamatkan perlumbaan di tempat keenam bagi menamatkan peluang tipisnya merangkul kejuaraan.

Hamilton, 23, berhasrat menjadi pemandu termuda dan kulit hitam pertama memenangi kejuaraan dunia selepas mensesiakan pendahuluan selesa dalam kedudukan pemandu dunia tahun lalu.


"Ini situasi berbeza berbanding tahun lalu," kata Hamilton, kini mempunyai 94 mata dan Massa 87 selepas menamatkan perlumbaan hampir 15 saat di depan. "Brazil pasti berbeza kali ini."

Pemandu Britain itu yang berdepan kritikan hebat atas corak pemanduan agresifnya, mungkin melenyapkan sebahagian daripada kritikan itu, dengan persembahan mantap.

Dia mengelak insiden sama yang disaksikan ketika permulaan Grand Prix Jepun minggu lalu, dengan permulaan bersih dari petak utama, diikuti Raikkonen dan Massa. � AFP


Don't forget to comment when you are done reading

Monday, October 6, 2008

Koo-Tan akhiri kemarau juara


Chong Wei, Julia tewas di final Terbuka Macau

Kemarau gelaran akhirnya dinoktahkan Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong yang berjaya mengekalkan mahkota ketika Lee Chong Wei dan Julia Wong Pei Xian bagaimanapun gagal mengelak sengsara pada final Terbuka Macau, semalam.

Kien Keat-Boon Heong, sebelumnya dalam situasi tertekan ekoran prestasi tidak menentu, menghasilkan prestasi memuaskan untuk muncul juara buat tahun kedua berturut-turut.

Kali ini, beregu ke-22 dunia dari Taiwan, Fang Chieh Min-Lee Sheng Mu ditundukkan mereka dengan keputusan 21-16, 21-18 dalam perlawanan berlangsung selama 31 minit.

Misi Chong Wei untuk memiliki kelebihan psikologi terhadap jaguh Indonesia, Taufik Hidayat, bagaimanapun tidak kesampaian apabila ditundukkan 19-21, 15-21 dalam tempoh 38 minit.

Chong Wei dan Taufik saling bersaing sengit untuk majoriti set pertama sehingga kedudukan 19-19. Selepas Taufik mengutip mata ke-20, pukulan smashnya ke penjuru kanan gelanggang didakwa Chong Wei sudah terkeluar, tetapi penjaga garisan memutuskan sebaliknya untuk Taufik menang 21-19.

Situasi itu tampak menjejaskan tumpuan Chong Wei yang - biarpun memberi tentangan seimbang pada awal set kedua - kemudiannya membenarkan Taufik membina kelebihan selesa dalam laluan menjamin kemenangan itu.

Kekalahan itu adalah yang ketiga pada aksi final untuk Chong Wei, bermula dengan Sukan Olimpik, Ogos lalu. Dia kalah kepada Lin Dan dalam perebutan pingat emas sebelum tumbang di tangan Sony Dwi Kuncoro pada final Terbuka Jepun.

Julia pula terus dipaksa kempunan dalam pemburuan gelaran sulung di peringkat antarabangsa apabila mendapati pilihan ketiga dari Hong Kong, Zhou Mi nyata terlalu bagus untuk ditandinginya.

Dia tewas mudah 13-21 pada set pertama dan biarpun memberikan usaha terbaiknya pada set kedua, ia nyata tidak mencukupi untuk akur kecundang 19-21 selepas bertarung selama 36 minit.

Keputusan final:
Perseorangan lelaki

Taufik Hidayat (Ina) mn Lee Chong Wei (Mas) 21-19, 21-15.

Perseorangan wanita:
Zhou Mi (HK) mn Julia Wong Pei Xian (Mas) 21-13, 21-19.

Beregu lelaki:

Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (Mas) mn Fang Chieh Min-Lee Sheng Mu (Tai) 21-16, 21-18.

Beregu wanita:
Cheng Shu-Zhao Yunlei (Chn) mn Ma Jin-Wang Xiaoli (Chn) 21-15, 21-18.

Beregu campuran:
Xu Chen-Zhao Yunlei (Chn) mn Yohan Hadikusumo Wiratama-Chau Hoi Wah (HK) 21-15, 21-16.


Don't forget to comment when you are done reading

Thursday, September 25, 2008

MSN tolak guna jurulatih pakar

Hasrat KOAM itu terbantut apabila idea itu gagal diluluskan JKK

Keinginan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) untuk mendapatkan jurulatih pakar, termasuk jurulatih lompat bergalah untuk Roslinda Samsu terbantut apabila mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bersama (JKK) badan induk itu dan Majlis Sukan Negara (MSN) menggugurkan idea itu.

Pada mesyuarat JKK semalam, yang dipengerusikan Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong yang turut dihadiri Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim, jawatankuasa berpendapat tidak ada keperluan untuk menjustifikasikan mengambil jurulatih terbabit iaitu Robert Emmiyan dari Armenia bagi acara lompat jauh dan kijang serta seorang jurulatih lompat bergalah dari Belgium.

“Dalam mesyuarat JKK itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk menangguhkan sementara pengambilan jurulatih pakar termasuk, jurulatih lompat bergalah untuk Roslinda kerana tidak ada keperluan untuk tenaga pakar buat masa ini,” kata Karim, semalam.

“Selain itu Roslinda juga menyatakan bahawa dia selesa untuk menjalani latihan di bawah jurulatih tempatan Man Sahar dan kita membenarkan dia meneruskan latihan bersama jurulatih itu.

“Bagi Robert Emmiyan, jawatankuasa juga berpendapat tiada keperluan mengambil khidmat secara sepenuh masa buat ketika ini tetapi akan cuba menggunakan khidmat untuk tempoh tertentu mengikut keperluan semalam,” kata Karim.

Keputusan JKK MSN-KOAM ini pasti akan menambah rasa terkilan Roslinda yang sebelum ini mengadu nasibnya yang kehilangan jurulatih dari Russia Gennady Potopovic, dengan KOAM berjanji akan menggantikannya dengan jurulatih pakar dari luar negara dalam usaha meningkatkan prestasinya.

Pada masa yang sama, KOAM juga ingin khidmat Emmiyan, yang mempunyai catatan keseluruhan lompat jauh keempat terbaik sepanjang zaman di belakang, antara Bon Beamon dan Carl Lewis.

Apabila ditanya MSN yang menolak sama sekali pengambilan jurulatih ini, Karim menafikannya dengan menyatakan ia adalah keputusan bersama.

“Ia bukan ditolak atau diketepikan sama sekali olah MSN, sebaliknya ia adalah keputusan bersama hasil perbincangan kedua-dua pihak,” kata Karim. “KOAM menjelaskan hasrat mereka dan kami berbincang dan membuat keputusan bersama mengenai perkara ini.”

Bagaimanapun, MSN bersetuju untuk meneruskan dengan khidmat jurulatih dari Iran Aziz Mirzaei, untuk melatih atlit bagi acara jarak sederhana dan jauh.


Don't forget to comment when you are done reading

1,000 kawal perlumbaan malam

SINGAPURA: Lebih 1,000 pengawal lengkap bersenjata selain anggota keselamatan biasa akan memastikan tahap keselamatan tinggi di litar jalan raya Grand Prix Singapura pada minggu ini dan mesej utama yang dikeluarkan - tinggalkan beg anda di rumah.

Pemegang tiket yang menghadiri perlumbaan F1 yang pertama kali diadakan di republik itu, sepatutnya sudah bersedia untuk diperiksa rapi, menurut laporan semalam.

“Mereka seharusnya meninggalkan beg dan payung di rumah untuk mempercepatkan proses pemeriksaan keselamatan dan memudahkan akses,” lapor akhbar Straits Times Singapura yang memetik kenyataan Pemerintah Pasukan Polis Tambahan Aetos, Rajoo Gopal.

Pengawal Aetos, yang dilengkapi dengan peranti pengesanan logam, akan meronda di seluruh kawasan litar selain ditempatkan di lapan pintu utama, termasuk di jeti waterfront, menurut laporan itu.


Litar jalan raya merangkumi kawasan waterfront dan beberapa lokasi terkenal serta mercu tanda zaman penjajahan Singapura, seperti gereja St Andrew serta Padang.

Pegawai berkata, kira-kira 100,000 peminat dijangka membanjiri kawasan litar, termasuk 40,000 pelancong luar negara. - AFP


Don't forget to comment when you are done reading

Monday, September 22, 2008

Hajat besar Malaysia tak kesampaian



Chong Wei, Eei Hui-Pei Tty tewas di final Terbuka Jepun

Kekecewaan mengiringi berita badminton negara apabila dua wakil di final, perseorangan lelaki Lee Chong Wei dan beregu wanita Chin Eei Hui-Wong Pei Tty, gagal menjuarai acara masing-masing apabila kecundang dalam perlawanan akhir Terbuka Jepun di Tokyo, semalam.

Chong Wei, yang mencari kejuaraan untuk memulihkan semangat selepas diaibkan pemain China Lin Dan pada perlawanan akhir Sukan Olimpik Beijing, bulan lalu, kelihatan dibelenggu bayangan kekalahan itu apabila menyerah mudah kepada pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro 17-21, 11-21.

Eei Hui-Pei Tty pula, yang memburu gelaran antarabangsa pertama mereka, gagal memenuhi aspirasi itu apabila tewas kepada gandingan muda China, Cheng Shu-Zhao Yunlei dalam pertarungan sengit tiga set 19-21, 21-5 dan 18-21.

Bagi Chong Wei, juara bertahan dan pilihan pertama, kekalahan ini pasti menambah lagi keresahan dirinya selepas begitu teruk dibelasah Lin Dan, apabila gagal menampilkan perlawanan bertenaga bukan hanya pada perlawanan akhir menentang Sony, tetapi sepanjang lima hari kejohanan Siri Super itu.

Walaupun mendahului 16-12 pada set pertama selepas terikat 10-10, Chong Wei gagal mencari lima mata akhir apabila Sony, pilihan kedua bangkit mengejar dan merapatkan kedudukan 17-17 hasil daripada beberapa siri kesilapan pemain utama Malaysia itu.



Tatkala Chong Wei kelihatan kehilangan arah, Sony pantas mengambil kesempatan dan mengikat mata pilihan pertama itu untuk membolehkan pemain utama Indonesia itu menang set pertama 20-17.

Pada set kedua, fikiran dan ketenangan Chong Wei tampak tidak lagi dalam perlawanan itu semalam apabila Sony dengan pantas mendahului 5-0 melalui pukulan smash kencang dan memastikan kejuaraan dengan kemenangan 21-14 dalam tempoh keseluruhan 40 minit.

Eei Hui-Pei Tty pula bermula penuh goyah dalam set pertama menentang Cheng-Zhao, terutama sekali Wei Hui yang banyak melakukan kesilapan bagi membolehkan pasangan bukan pilihan dari China ini menang 21-19.

Bagaimanapun, Eei Hui-Pei Tty bangkit beraksi lebih baik dalam set kedua dengan mengurang kesilapan dan bermain secara menyerang untuk mengikat kedudukan 1-1 dengan kemenangan 20-5 untuk membawa pertarungan ke set penentuan.

Tetapi, harapan punah apabila gagal menyaingi kepantasan Cheng-Zhao, dan walaupun cuba bangkit pada babak akhir perlawanan apabila menghampiri kedudukan 18-20, smash kencang Cheng ke arah badan Eei Hui gagal dikembalikan, sekali gus memberikan kemenangan pada pasangan China itu dalam masa hampir satu jam.


Don't forget to comment when you are done reading

Wednesday, September 17, 2008

Mew Choo tidak berani buat ramalan

Aksi pada pusingan pertama Terbuka Jepun

Ada rasa gementar menjelma dalam sanubari pemain wanita utama negara, Wong Mew Choo, menjelang aksi pada pusingan pertama badminton Terbuka Jepun, di Tokyo, hari ini.

Bukan tidak percaya dengan kemampuannya, tetapi rasa gementar itu lebih kepada hakikat sudah lama tidak turun beraksi selepas cabarannya berakhir pada peringkat suku akhir Sukan Olimpik di Beijing, bulan lalu.

"Ini akan jadi hanya kejohanan kompetitif kedua saya dalam tempoh tiga bulan. Kerana itu, saya tidak berani membuat ramalan sejauh mana mampu melayakkan diri.

"Saya ada sedikit rasa gementar, biarpun yakin saya sudah berusaha sebaik mungkin sepanjang latihan lalu. Itu perasaan yang ada ketika ini dan saya berharap dapat mengawalnya," kata Mew Choo.

Mew Choo beraksi pada Terbuka Singapura, pertengahan Jun lalu sebelum menumpukan hanya kepada persiapan untuk Sukan Olimpik, Ogos lalu.

Selepas itu, tiada kejohanan disertainya - termasuk keputusan menarik diri daripada Terbuka Pulau Pinang, bulan lalu - sehinggalah dia turun ke gelanggang, pagi nanti.

Namun masih ada bantuan menjelma untuk Mew Choo pada Terbuka Jepun kali ini kerana dia beruntung diundi bertemu pemain muda Jepun, Yu Hirayama pada pusingan pertama.

Halangan itu tampak tidak akan menjelmakan masalah ketika salah seorang daripada pemain Indonesia - Maria Kristin Yulianti ataupun Firdasari Ardianti - bakal jadi lawan pada pusingan kedua.

Andainya mara, Mew Choo dituntut jurulatihnya, Misbun Sidek, untuk menebus kehampaan di tangan Lu Lan pada temasya di Beijing lalu dengan menumpaskan pilihan utama itu pada suku akhir.

"Ketika ini, apa yang mampu saya janjikan ialah kesungguhan untuk mencuba sedaya upaya. Saya tidak mahu terlalu menekan diri sendiri biarpun tetap mahu menamatkan tahun kali ini dengan sekurang-kurangnya satu gelaran," katanya.


Don't forget to comment when you are done reading

Tuesday, September 16, 2008

Beasley kekal ketua jurulatih



'Kita tunggu mesyuarat untuk disahkan, hanya proses dokumentasi'

Berpandu kepada keputusan terpuji dilakar di pentas antarabangsa, tugasan ketua jurulatih trek negara, John Beasley membimbing pelumba sehingga ke Sukan Olimpik 2012 sudah hampir menjadi satu kenyataan.

Semalam, Pengarah Cawangan Elit MSN, Ariffin Ghani berkata penyambungan kontrak pengendali berkenaan sudah hampir dibereskan dan hanya menunggu proses dokumentasi apabila mesyuarat jawatankuasa bersama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) dan Majlis Sukan Negara (MSN) difahamkan hujung bulan ini bakal mengesahkan status jurulatih dari Australia itu.

Ariffin ketika dihubungi berkata, secara dasarnya MSN sudah bersetuju untuk menyambung kontrak Beasley yang berjaya membimbing skuad trek negara menunjukkan prestasi terbaik di Sukan Olimpik Beijing, bulan lalu.

"Kita tunggu mesyuarat untuk disahkan, hanya dalam proses dokumentasi," katanya.

Di bawah bimbingan Beasley, skuad trek negara kini boleh bergelar antara pasukan disegani di peringkat dunia dengan trio pecut berpasukan Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Mohd Rizal Tisin berada di tangga ketujuh dunia pada Sukan Olimpik.

Dalam acara keirin, Josiah berkedudukan kesembilan dan Azizulhasni ke-10 selain kelapan terbaik dunia dalam acara 200m pecut.

Sebelum ini, kontrak Beasley yang tamat pada Ogos lalu belum diperbaharui MSN menyebabkan MNCF bimbang jurulatih yang membimbing skuad negara sejak 2006 itu akan dilamar negara lain.

Bagaimanapun Beasley yang mengendalikan kursus bersama jurulatih trek negara minggu lalu turut enggan memberi komen tetapi berdasarkan perancangannya bersama MSN mengenai program atlit negara sehingga Olimpik London 2012, bayangan kontraknya akan disambung dilihat cerah.

"John sendiri sudah meluahkan hasrat untuk menyambung kontrak dengan kita. Dia mahu melihat hasil terhadap apa yang sudah dilakukannya selama ini pada 2012 (Sukan Olimpik London) nanti," kata Ariffin.

Ketika ini, enam atlit elit trek negara diketuai Azizulhasni, Josiah, Rizal Tisin, Mohd Edrus Yunus, Mohd Junaidi Mohd Nasir dan Fatehah Mustapha mendapat bimbingan Beasley di pangkalan latihan mereka di Melbourne, Australia.


Don't forget to comment when you are done reading

Saturday, September 13, 2008

Roslin mara ke separuh akhir



Dua beregu lelaki, Lydia Cheah turut semarak cabaran Terbuka Taiwan

Kemaraan pemain veteran, Roslin Hashim (gambar), pada kejohanan badminton Terbuka Taiwan berterusan ke separuh akhir selepas menundukkan lawan dari China, Chen Hong dalam persaingan tiga set, semalam.

Turut mengiringi langkahan ke peringkat sama ialah dua beregu negara, Tan Wee Kiong-Razif Latif serta Hoon Tien How-Ong Soon Hock selain pemain muda wanita negara, Lydia Cheah.

Namun paling manis pastinya kejayaan Roslin ke atas pemain veteran China itu untuk meneruskan pencapaian baik selepas kejayaan memenangi Terbuka Pulau Pinang, tiga minggu lalu.

Roslin menundukkan Chen Hong 21-19, 16-21, 21-12 untuk menjamin pertemuan menentang pemain utama Vietnam, Nguyen Tien Minh yang mara selepas menundukkan pemain muda Indonesia, Tommy Sugiarto 21-12, 21-7.

Tien How-Soon Hock juga turut dipaksa bertarung tiga set sebelum menewaskan lawan dari Indonesia, Hendra Gunawan-Joko Riyadi 17-21, 21-18, 26-24. Lawan menanti mereka ialah pilihan kedua, Candra Wijaya-Tony Gunawan.

Wee Kiong-Razif pula menyalakan harapan untuk melihat dua beregu negara berentap sesama sendiri pada final nanti apabila menewaskan Hendra Wijaya-Uki Kasah Yoga 21-18, 21-16.

Pilihan utama, Mathias Boe-Carsten Morgensen dari Denmark bakal jadi lawan mereka pada separuh akhir, hari ini.

Lydia pula menempatkan diri dalam kelompok empat pemain terbaik selepas menundukkan pemain Jepun, Mayu Sekia 21-18, 17-21, 21-13.

Lawannya ialah pemain tuan rumah, Chia Yi Ju yang mara selepas mengejutkan pemain pilihan keempat dari Belanda, Yao Jie dalam pertarungan tiga set, 21-17, 14-21, 21-19.

Cabaran pemain Kelab Raket Kuala Lumpur, Lee Tsuen Seng pula berakhir pada separuh akhir, semalam, apabila ditundukkan Simon Santoso dari Indonesia 21-17, 21-15.


Don't forget to comment when you are done reading

Friday, September 12, 2008

Hanya 22 acara di Laos



Sukan Sea ke-25 tanpa berbasikal, gimnastik, memanah

Sejumlah 22 disiplin akan dipertandingkan pada Sukan Sea XXV di Vientiane, Laos dengan beberapa sukan utama seperti memanah, lumba basikal, gimnastik dan angkat berat tidak ada dalam senarai utama yang dipersetujui pada mesyuarat Persekutuan Sukan Sea (SGF), yang berakhir kelmarin.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, jawatankuasa penganjur memaklumkan bahawa mereka hanya berkemampuan untuk mengelolakan 22 sukan pada temasya yang akan diadakan pada penghujung 2009 berikutan kekurangan kemudahan sukan.

“Bagaimanapun, ahli gabungan SGF meminta penganjur untuk menimbangkan beberapa acara lagi,” kata Kok Chi.

“Untuk itu, semua wakil persekutuan yang hadir bersetuju untuk menyenaraikan lapan sukan tambahan yang majoritinya dipertandingkan pada peringkat Olimpik untuk dipertimbangkan oleh penganjur.

“Dalam hal ini, penganjur hanya memberi komitmen bahawa mereka akan mempertimbangkan satu atau dua sukan lagi, tidak lebih daripada itu,” kata Kok Chi.

Lapan sukan Olimpik terbabit ialah memanah, bola keranjang, lumba basikal, gimnastik, kenu & kayak, lawan pedang, angkat berat dan mendayung serta sukan tambahan iaitu lumba perahu tradisional.

Pada Sukan Sea XXIV di Korat, kontinjen negara mendominasi acara memanah, bola keranjang (wanita) dan gimnastik.

Sukan yang akan dipertandingkan di Laos ialah olahraga, akuatik (renang dan terjun), badminton, bola tampar, bola sepak, billiard & snuker, judo, karate-do, taekwondo, golf, sepak takraw, menembak, ping pong, tenis, tinju, gusti, wushu, muay thai, pencak silat dan tiga sukan tradisional iaitu renang sirip, sepak bulu ayam dan petanque.

“Ada beberapa negara meminta lebih banyak sukan dimasukkan tetapi saya ada mencadangkan supaya tuan rumah mengurangkan jumlah acara bagi setiap sukan bagi membolehkan sukan-sukan lain dipertandingkan,” kata Kok Chi. “Bagaimanapun semuanya terpulang kepada budi bicara tuan rumah.”

Laos membelanjakan lebih AS$80 juta (RM272 juta) untuk membina kompleks sukan terbaru yang mengandungi stadium utama dengan kapasiti 20,000 penonton, dua stadium tertutup (3,000 penonton), kolam renang tertutup bernilai AS$17 juta (RM57.8 juta) dan gelanggang tenis.


Don't forget to comment when you are done reading

Wednesday, September 10, 2008

KOAM buru tiga jurulatih pakar

Mereka punyai latar belakang, pengalaman luas sebagai atlit: Karim

Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) dalam langkah mengambil tiga jurulatih berprestasi tinggi termasuk bagi acara lompat bergalah menggantikan Gennady Potopovich untuk membimbing atlit menghadapi Sukan Asia/Komanwel 2010 dan Sukan Olimpik 2012.

Mereka adalah Aziz Mirzaei dari Iran yang akan membimbing atlit dalam acara lari jarak sederhana, jauh dan maraton serta Robert Emmiyan dari Armenia bagi acara lompat jauh dan kijang. Seorang lagi jurulatih lompat ialah Patrick Desruelles dari Belgium.

"Ketiga-tiga jurulatih ini mempunyai latar belakang dan pengalaman luas sebagai atlit dan juga jurulatih," kata Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim.

"Namun masalahnya sekarang ialah khidmat mereka bukan murah dan persatuan akan berbincang dengan MSN (Majlis Sukan Negara) mengenai sumber kewangan.

"Saya akan membentangkan ketiga-tiga nama ini pada mesyuarat jawatankuasa kerja bersama KOAM-MSN dan berharap kedua-dua pihak bersetuju mendapatkan khidmat jurulatih ini walaupun bayaran yang mereka tuntut agak tinggi," kata Karim.

Ketika ini, Mirzaei sudah hampir dua bulan melaksana tugasnya secara sementara dengan KOAM yang berharap MSN akan dapat menawarkan kontrak jangka panjang untuknya.

Bagi Emmiyan, latar belakangnya selaku atlit agak menakjubkan dengan lompatan terbaik 8.86 meter yang dilakukan pada 1987, dan masih lagi bertahan sebagai rekod Eropah sehingga kini, dan catatan itu juga adalah jarak keempat terbaik sepanjang zaman di belakang lompatan Mike Powell, Bob Beamon dan Carl Lewis

Selain itu, pencapaian terbaiknya termasuk pingat perak pada Kejohanan Olahraga Dunia 1987 dan juara Kejohanan Eropah 1986 dengan lompatan 8.41m.

Bagi lompat bergalah pula, Karim belum dapat memberikan banyak butir mengenai Desruelles tetapi berharap jika dia akan dapat membantu pakar lompat bergalah wanita negara, Roslinda Samsu meningkatkan ketinggiannya.

"Saya sudah pun berbincang dengan Roslinda mengenai isu pemberhentian khidmat jurulatihnya (Potopovich)," kata Karim. "Memang kita sekarang sedang mencari pengganti dan tidak akan membiarkan Roslinda tanpa arah.

"Pertukaran jurulatih adalah perkara biasa dalam sukan kerana ia dapat membantu seseorang atlit itu meningkatkan prestasinya. Saya harap Roslinda akan melihatnya secara positif."


Don't forget to comment when you are done reading

Saturday, September 6, 2008

Tenis: Amerika lawan Eropah di Pulau Pinang

Buat pertama kali, satu perlawanan tenis secara berpasukan antara bekas pemain terbaik dunia dari benua Amerika dan Eropah akan diadakan di Pulau Pinang, 14 hingga 16 November ini.

Pertembungan yang dikenali sebagai ‘Raja Tenis’ itu membabitkan bekas pemain utama dari Amerika, John McEnroe, Marcelo Rios dan Pete Sampras manakala Roy Amerson bertindak sebagai kapten pasukan.

Barisan Eropah pula terdiri daripada trio legenda Sweden, Bjorn Borg, Mats Wilander dan Stefan Edberg dengan pemain Romania, Ilie Nastase memikul tugas kapten pasukan.

Menurut pengarah kejohanan, Urban Johansson, pihak penganjur bercadang membawa perlawanan ini ke bandaraya lain seperti Moscow dan Beijing selepas itu tetapi memilih Pulau Pinang sebagai destinasi pertama dalam edisi sulung itu.

“Pulau Pinang dipilih kerana ia dikelilingi lima kawasan warisan dunia, juga memberi peluang kepada pemain muda Malaysia menyaksikan kelibat pemain legenda tenis dunia beraksi,” kata Johansson pada sidang media kejohanan di Petaling Jaya, semalam.

Pada sidang media itu, turut diadakan lintas langsung temu bual telefon dengan Edberg dan bekas juara Wimbledon itu mengakui tidak sabar untuk beraksi dalam kejohanan julung kali itu.

“Bagi saya, ini adalah peluang baik untuk mempamerkan semula aksi selepas sekian lama bersara. Ini satu idea baik kerana ia turut memberi peluang kepada saya bertemu rakan-rakan lama.

“Secara peribadi, saya berharap dapat beradu kekuatan bersama Sampras, untuk melihat siapa di antara kami masih mampu beraksi dengan baik selepas bersara,” kata Edberg.

Turut hadir ialah wakil penganjur perlawanan di Malaysia, Ariana Teoh, jurulatih kebangsaan Rahizam Rahim dan pemain utama negara, V Selvam.


Don't forget to comment when you are done reading

Friday, September 5, 2008

Amirul sasar emas di New Delhi

Olimpik Beijing beri banyak pengajaran, pengalaman untuk tingkat prestasi

Selepas sekadar menduduki tempat kelapan kategori 56 kilogram acara angkat berat Sukan Olimpik Beijing bulan lalu, Amirul Hamizan Ibrahim kini memburu impian meraih kejayaan pada temasya Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India.

Atlit kelahiran Kuala Rompin, Pahang itu bertekad melakukan angkatan yang lebih baik iaitu memecahkan rekod kebangsaan 265kg yang dilakukan di Beijing lalu.

Amirul berkata, sekembalinya dari Beijing, dia berasa peluangnya untuk meraih kejayaan di Sukan Komanwel 2010 akan menjadi kenyataan seperti dilakukannya di Manchester 2002.

"Saya harap pengalaman pertama menyertai Sukan Olimpik Beijing akan membantu meningkatkan jumlah angkatan dan mampu memberi saingan dengan atlit yang lebih berwibawa.

"Kejayaan menduduki tempat kelapan keseluruhan dalam kategori 56kg serta memecahkan rekod kebangsaan di Beijing lalu diharap memberi kekuatan terutama dari segi mental dan fizikal.

"Setakat ini, saya menjalani latihan seperti biasa pada setiap hari iaitu pada sesi petang dan malam. Walaupun tiada pertandingan bagi tempoh dua atau tiga bulan akan datang, tumpuan saya tetap pada Sukan Komanwel New Delhi," katanya.

Di Beijing lalu, Amirul mengangkat 121kg dalam acara snatch dan 144kg untuk clean and jerk, sekali gus mengatasi rekodnya 262kg sebelum ini yang dilakukannya ketika menduduki tempat keempat di kejohanan kelayakan Asia di Jepun, Mei lalu.

Amirul berkata, ketiadaan sukan angkat berat di Sukan Sea Laos 2009 tidak akan menjejaskan impiannya untuk mempamer aksi lebih baik di New Delhi seperti di Manchester 2002.


Don't forget to comment when you are done reading

Wednesday, September 3, 2008

Laluan mudah di Tokyo



Chong Wei mampu pertahan gelaran Terbuka Jepun

Hasrat memadam igauan final Sukan Olimpik mampu ditunaikan segera pemain utama negara, Lee Chong Wei, yang berdepan laluan mudah untuk mempertahankan gelaran Terbuka Jepun, bermula 16 September ini.

Chong Wei, sekadar meraih pingat perak selepas cabarannya mudah dibenam Lin Dan pada aksi kemuncak temasya itu, diramal hanya mula berdepan tentangan getir di suku akhir apabila pemain Indonesia, Simon Santoso, menantinya.

Namun Chong Wei punya kelebihan psikologi selepas ‘membelasah’ pemain muda Indonesia itu pada final Terbuka Singapura lalu dan diramal tidak bermasalah untuk menempah pertemuan dengan Taufik Hidayat pada separuh akhir.

Taufik adalah lawan ditumbangkannya pada final kejohanan sama, tahun lalu, dan berdasarkan prestasi terkini, Chong Wei harus dilihat berkelebihan untuk muncul juara biarpun Sony Dwi Kuncoro diramal akan cuba menghalang di final.

Turut bersaing dalam perseorangan lelaki - yang bakal berlangsung tanpa kehadiran pemain-pemain utama China - ialah Roslin Hashim dan dua pemain Kelab Raket Kuala Lumpur, Lee Tsuen Seng serta Sairul Amar Ayob.

Laluan beregu Fairuzizuan Tazari-Mohd Zakry Latif untuk memenangi gelaran Siri Super Dunia ketiga berturut-turut pula dijangka bermula mudah, dengan pilihan keenam, Shintaro Ikeda-Shuichi Sakamoto, jadi penghalang serius di suku akhir.

Juara dunia yang juga pemenang pingat emas Olimpik, Markis Kido-Hendra Setiawan, kemudiannya menanti pada separuh akhir.

Pemain wanita utama negara, Wong Mew Choo pula diramal tidak akan sukar ke suku akhir sebelum bertemu pilihan utama, Lu Lan dari China. Andainya melepasi halangan itu, pilihan keempat dari Jerman, Xu Huaiwen, menantinya pada separuh akhir.

Terbuka Jepun kali ini pula menjelmakan peluang terbaik buat Wong Pei Tty-Chin Eei Hui, melakar pencapaian terbaik dalam Siri Super ekoran ketiadaan tiga beregu utama dunia dari China.

Selepas mendapat bye pada pusingan pertama, Pei Tty-Eei Hui diundi berdepan dua pasangan muda Jepun pada pusingan kedua dan suku akhir sebelum beregu utama Indonesia, Vita Marissa-Liliyana Natsir menanti pada separuh akhir.


Don't forget to comment when you are done reading

Tuesday, September 2, 2008

Bintang ASK buat Hijau Kuning



Sultan Kedah perkenan anugerahkan Ahli Cemerlang Semangat Jerai

Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, semalam berkenan menganugerahkan Bintang Ahli Cemerlang Semangat Jerai (ASK) kepada 37 pemain dan pegawai bola sepak Kedah sempena kemenangan mereka menjulang tiga trofi prestij kebangsaan - Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Super buat dua musim berturut-turut.

Istiadat penganugerahan bintang itu diadakan di Istana Anak Bukit, Alor Star yang turut dihadiri Sultanah Kedah, Hamidah Hamidun serta Menteri Besar selaku Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Pengurus Pasukan Hijau Kuning, Datuk Othman Abdul Aziz mengetuai senarai penerima anugerah bintang berkenaan, diikuti penolong pengurus pasukan Kedah, Syed Khairol Anuar Syed Abidin; ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah serta penolong jurulatih, Mohd Radhi Mat Din dan Ahmad Sabri Ismail.





Turut menerima anugerah itu, kapten pasukan, Victor Andrag; Ahmad Fauzi Shaari, Shafizan Hashim, Helmi Eliza Elias, Mohd Khairil Muhymeen Zamree, V Thirumurugan, Saramsak Kram, Badrol Bakhtiar dan Mohd Fazliata Taib.

Selain itu, Mohd Sabree Mat Abu, Mohd Shafiq Jamal, Abdul Hadi Abdul Hamid, Cornelius Bernard Hugging, Marlon Alex James, Nelson Marcelo San Martin, Khairul Helmi Johari, Mohd Rafiz Abu Bakar, Ronny Harun, Muhamad Al-Hafiz Hamzah, Mohd Redzuan Nawi, Zamzuri Mat Isa, Mohd Rozaidi Abdul Rahim, Mohd Hazwan Zainun, Mohd Nizam Mansor, Mohd Shakir Mat Ali dan Mohd Faizal Abu Bakar.



Lima petugas skuad berkenaan, iaitu Pegawai Perubatan Pasukan Kedah, Dr Kamalnizat Ibrahim, Roslan Abdul Jalil dan Ewe Gim Him serta dua Pegawai Perhubungan Pasukan Bola Sepak Kedah, Zahari Mat Isa dan Roshidi Ismail turut menerima anugerah itu.

Sementara itu, Khyril Muhymeen ketika ditemui berkata, beliau terharu dengan penganugerahan itu.

Katanya, hadiah kemenangan pasukan Hijau Kuning itu ditujukan khas buat Sultan Abdul Halim sempena sambutan Jubli Emas pemerintahan baginda pada bulan lalu selain membalas jasa Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil serta semua jurulatih yang selama ini mendorong mereka untuk bermain bersungguh-sungguh.

"Kemenangan ini adalah hadiah istimewa buat peminat nombor satu skuad Hijau Kuning, Tuanku Sultan yang sentiasa memberi sokongan padu kepada kami semua.



"Kami juga menjunjung kasih di atas kesudian baginda menganugerahkan pingat ini yang akan menjadi pembakar semangat untuk mempertahankan kedudukan Kedah pada musim akan datang," katanya.

Dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam Sabtu lalu, Kedah berjaya mencipta sejarah selepas menewaskan Selangor 3-2 – sekali gus mencipta rekod kemenangan enam piala bagi dua musim berturut-turut.


Don't forget to comment when you are done reading

Saturday, August 30, 2008

Korea Selatan buat kita mandi peluh

Malaysia menang 3-0 tapi terpaksa bergelut.

Ramalan Malaysia mudah menundukkan regu Korea Selatan dalam acara berpasukan lelaki Kejohanan Piala Raja Thailand ke-23 semalam nyata meleset, malah mendedahkan betapa kemampuan pemain negara perlu dipertajamkan supaya tidak menanggung terus aib.

Meskipun menang 3-0 dan merintis jalan ke saingan akhir esok, regu negara nyata mengundang gelisah di kalangan segelintir penyokong di Dewan Pameran Kompleks Beli Belah Fashion Island, pinggir Bangkok semalam apabila Korea berjaya yang dianggap kerdil mengheret pemain negara bermain di tie-break dalam saingan ketiga-tiga regu.

Regu pertama Malaysia yang dibarisi Muhamad Syazwan Husein (tekong), Mohd Hamikhairi Mohd Roslan (perejam) dan Mohd Syafiq Abd Rahman menundukkan regu pertama Korea 21-18, 22-20, 15-10.

Regu kedua pula yang menampilkan Sulaiman Salleh, Mohd Arif Busu dan Fadlansyah Barahim juga bertarung tiga set untuk menundukkan regu Korea, 24-22, 21-16, 16-14 manakala regu ketiga Mohd Khairudin Adenan (perejam), Ahmad Sufi Mohd Hashim (tekong) dan Zulhafizazudin Roslan menang 21-10, 22-24, 15-9.

Pengurus Malaysia, Datuk Awang Sham Awang Amat mengakui skuad negara memerlukan suntikan semangat untuk bersaing di arena antarabangsa kerana perasaan gemuruh jelas mempengaruhi permainan mereka.

"Seharusnya pasukan negara mampu menundukkan lawan kerana sudah mendahului tetapi gagal menggunakan kesempatan. Kelemahan ini akan segera diatasi bagi memastikan pasukan negara dapat memberikan persembahan lebih mantap," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia, Datuk Ahmad Ismail, berkata daripada mutu permainan yang ditunjukkan semalam, majoriti pemain muda negara kelihatan goyah terutama apabila berdepan situasi genting.

"Pasukan kini dibarisi pemain muda untuk program Sukan Asia 2010 dan masih banyak pendedahan perlu diberikan supaya mereka dapat dibentuk menjadi regu yang mantap," katanya

Sementara itu, aksi skuad wanita negara yang baru dibentuk 18 bulan lalu, terhenti di separuh akhir apabila tewas kepada China 2-0 dalam pertarungan separuh akhir malam tadi.

Regu pertama yang dibarisi Siti Nurzubaidah, Norasidah Abd Rasid dan Norhayati Ahmad tunduk kepada regu China dalam pertarungan straight set 21-8, 21-10 manakala regu kedua dianggotai Norfairuz Azizan, Siti Norhalim Hussein dan Lawi Sangat tewas 21-5, 21-12.


Don't forget to comment when you are done reading

Friday, August 29, 2008

Chong Wei rasmi bergelar Datuk




Jaguh badminton negara yang menang pingat perak di Sukan Olimpik Beijing, Lee Chong Wei, dikurniakan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk, semalam.

Kurniaan daripada kerajaan Pulau Pinang itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara, Georgetown.

Pemain badminton negara yang berada di kedudukan kedua ranking dunia pada masa ini adalah pemain badminton pertama yang masih aktif menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk.

Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan ibu bapa kepada pemain badminton itu, Lee Ah Chai, 55, serta Khor Kim Choi, 54.

Selepas majlis berkenaan, Chong Wei yang akan genap berusia 26 tahun pada 21 Oktober ini menyuarakan dia lebih selesa dipanggil namanya sahaja berbanding gelaran berkenaan.

Sambil berterima kasih kepada kerajaan negeri atas kurniaan itu, dia akui keberatan untuk menerimanya pada peringkat awal, tetapi bersetuju bagi menaikkan semangatnya.

“Malah, pengurniaan ini menguatkan azam saya untuk mempertahankan kejuaraan di kejohanan Terbuka Jepun pada 14 September ini. Kurniaan itu diharap memberi inspirasi kepada pemain badminton lain,” kata pemain itu yang bakatnya terserlah seawal usia 13 tahun di Sekolah Kebangsaan Berapit, Bukit Mertajam, apabila menang pingat emas acara beregu dalam Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Pulau Pinang (MSSPP).


Don't forget to comment when you are done reading