Di sebalik kini terlantar di hospital akibat jangkitan kuman di paru-parunya, ada khabar gembira hadir buat jurulatih badminton negara, Datuk Misbun Sidek, kelmarin.
Ia terjelma dalam bentuk kesediaan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mempertimbangkan langkah 'mengembalikan' potongan 50 peratus gaji yang dikenakan terhadapnya, empat tahun lalu.
Misbun sebelumnya dituding sebagai antara 'pihak bersalah' selepas temasya Sukan Olimpik 2004 di Athens, yang menyaksikan kontinjen negara pulang dengan tangan kosong.
Akibat kegagalan itu, segelintir pihak menerajui usaha untuk menyingkirkan Misbun yang dianggap tidak lagi berkemampuan membimbing pemain negara ke kemuncak pencapaian sebegitu.
Namun Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) ketika itu, Datuk Wira Mazlan Ahmad, adalah antara pihak masih percayakannya dan berjaya memastikan khidmat Misbun diteruskan, biarpun dengan 'harga' tinggi dipotong gajinya sebanyak 50 peratus.
Hasil kepercayaan itu, Misbun membalasnya dengan kegigihan dan kesungguhan membimbing pemain terbukti apabila Lee Chong Wei menamatkan kemarau dengan pingat perak pada Sukan Olimpik Beijing, Ogos lalu.
"Saya beri jaminan bahawa ia akan diberikan semula kepadanya selepas mengkaji perkara ini dengan terperinci," kata Ismail Sabri.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, turut memberi jaminan akan memperhalusi isu berkenaan apabila duduk berbincang sebaik Misbun sembuh, tidak lama lagi.
4 comments:
ade jugak yg menghargai... harap beliau cepat sihat
bukan sebab kes mahkamah ke? anyway sebagai sedara seislam tentulah kita doakan beliau sembuh semula.
smoge beliau cepat shat cm amer..
haha..
agak rugi jika kita kehilangan jurulatih yang sanggup bekorban seperti misbun
Post a Comment