Chong Wei, Eei Hui-Pei Tty tewas di final Terbuka Jepun
Kekecewaan mengiringi berita badminton negara apabila dua wakil di final, perseorangan lelaki Lee Chong Wei dan beregu wanita Chin Eei Hui-Wong Pei Tty, gagal menjuarai acara masing-masing apabila kecundang dalam perlawanan akhir Terbuka Jepun di Tokyo, semalam.
Chong Wei, yang mencari kejuaraan untuk memulihkan semangat selepas diaibkan pemain China Lin Dan pada perlawanan akhir Sukan Olimpik Beijing, bulan lalu, kelihatan dibelenggu bayangan kekalahan itu apabila menyerah mudah kepada pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro 17-21, 11-21.
Eei Hui-Pei Tty pula, yang memburu gelaran antarabangsa pertama mereka, gagal memenuhi aspirasi itu apabila tewas kepada gandingan muda China, Cheng Shu-Zhao Yunlei dalam pertarungan sengit tiga set 19-21, 21-5 dan 18-21.
Bagi Chong Wei, juara bertahan dan pilihan pertama, kekalahan ini pasti menambah lagi keresahan dirinya selepas begitu teruk dibelasah Lin Dan, apabila gagal menampilkan perlawanan bertenaga bukan hanya pada perlawanan akhir menentang Sony, tetapi sepanjang lima hari kejohanan Siri Super itu.
Walaupun mendahului 16-12 pada set pertama selepas terikat 10-10, Chong Wei gagal mencari lima mata akhir apabila Sony, pilihan kedua bangkit mengejar dan merapatkan kedudukan 17-17 hasil daripada beberapa siri kesilapan pemain utama Malaysia itu.
Tatkala Chong Wei kelihatan kehilangan arah, Sony pantas mengambil kesempatan dan mengikat mata pilihan pertama itu untuk membolehkan pemain utama Indonesia itu menang set pertama 20-17.
Pada set kedua, fikiran dan ketenangan Chong Wei tampak tidak lagi dalam perlawanan itu semalam apabila Sony dengan pantas mendahului 5-0 melalui pukulan smash kencang dan memastikan kejuaraan dengan kemenangan 21-14 dalam tempoh keseluruhan 40 minit.
Eei Hui-Pei Tty pula bermula penuh goyah dalam set pertama menentang Cheng-Zhao, terutama sekali Wei Hui yang banyak melakukan kesilapan bagi membolehkan pasangan bukan pilihan dari China ini menang 21-19.
Bagaimanapun, Eei Hui-Pei Tty bangkit beraksi lebih baik dalam set kedua dengan mengurang kesilapan dan bermain secara menyerang untuk mengikat kedudukan 1-1 dengan kemenangan 20-5 untuk membawa pertarungan ke set penentuan.
Tetapi, harapan punah apabila gagal menyaingi kepantasan Cheng-Zhao, dan walaupun cuba bangkit pada babak akhir perlawanan apabila menghampiri kedudukan 18-20, smash kencang Cheng ke arah badan Eei Hui gagal dikembalikan, sekali gus memberikan kemenangan pada pasangan China itu dalam masa hampir satu jam.
Beli tiket bas online lebih mudah dengan eticketing
-
Beli tiket bas online kini jadi lebih mudah dan senang. Saya memang
pengguna setia catch that bus pada dahulunya kerana setiap pembelian ada
rebat. Setela...
4 years ago
2 comments:
dah fobia kot lcw masuk final..sfinal ok je..mnang mudah..
2 la psl....knp die leh kalah
Post a Comment