Follower's

[1/2/20011][8:39 AM]
I'm offline
haiii

Monday, August 25, 2008

Sukan Olimpik: Aksi lebih baik dari Athens

Penyertaan paling ramai secara individu, tak banyak tinggalkan kesan.

Badminton sekali lagi menjadi penyelamat kontinjen negara di Sukan Olimpik Beijing apabila kembali menyumbang pingat selepas kali terakhir berbuat demikian 12 tahun lalu.

Pingat perak sumbangan Lee Chong Wei dalam perseorangan lelaki pada 17 Ogos lalu sememangnya dinanti-nantikan apa lagi bagi menyelamatkan maruah kontinjen negara yang terdiri daripada 33 atlit itu.

Itulah juga satu-satunya detik yang mampu dibanggakan ketika penyertaan kali ini yang dianggap paling ramai secara individu, tidak banyak meninggalkan kesan.

Kecuali rekod kebangsaan oleh Daniel Bego (renang 200 meter gaya bebas lelaki), Siow Yi Ting (200m kuak dada wanita), trio memanah (70m recurve berpasukan), Wan Khalmizam Wan Abd Aziz (70m recurve individu), trio berbasikal (pecut berpasukan) dan Amirul Hamizan Ibrahim (angkat berat 56kg), tiada apa yang boleh dibangga sangat daripada wira dan srikandi kita di Beijing bagi edisi ke-29 kali ini.

Secara kasar, memang diakui persembahan atlit kali ini lebih baik berbanding semasa di Athens, empat tahun lalu.

Enam atlit negara berjaya mara ke suku akhir (tidak termasuk Chong Wei) iaitu trio memanah, Cheng Chu Sian (memanah individu), Wong Mew Choo, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (badminton), Che Chew Chan (taekwondo) dan Azizulhasni Awang (pecut individu) berbanding satu final (Josiah Ng), satu separuh akhir (Lim Kheng Liat dan satu suku akhir (Choong Tan Fook-Lee Wan Wah) di Athens.

Namun atlit lain rata-rata sekadar menjadi penumpang atau pelancong termasuk adanya atlit yang ‘menghilangkan’ diri menemui teman bukan datang ke stadium memberi sokongan ketika pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong beraksi di suku akhir.

Pembabitan kontinjen negara juga seakan lesu sebaik acara badminton tamat, apabila secara tiba-tiba semua tumpuan berpindah kembali ke Malaysia, mengikut skuad badminton negara yang pulang sehari selepas perlawanan akhir itu.

Biarpun ketika ini perak Chong Wei pasti menjadi ‘pendinding’, hakikat yang perlu diakui dia masih yang kedua terbaik di Beijing.

Masih ada kepincangan kontinjen negara yang jelas terdedah biarpun selepas berbelanja hampir RM10 juta sebagai persiapan mereka.

Faktor paling ketara adalah kualiti atlit sendiri yang harus menjadi ukuran, bukannya kuantiti. Tidak ada gunanya bersusah payah layak ke temasya sukan paling besar di dunia tetapi apabila tiba saatnya, semuanya ‘kecut perut’.

Kuantiti atlit tidak membantu meletakkan negara dalam senarai kutipan pingat kecuali adanya mereka yang berkualiti untuk menyumbang sesuatu.

Pentas Olimpik harus dijadikan medan untuk atlit negara menguji kemampuan sebenar mereka bersama atlit negara lain kerana peluang sebegitu cukup jarang diperolehi.

Memang menyakitkan pandangan mata melihat atlit negara cuma mampu beraksi di peringkat kelayakan atau saringan sahaja dan selepas itu sudah tersingkir daripada cabaran.

Apakah pengalaman yang mampu ditimba dengan aksi sebegitu?

Pengalaman di Beijing wajar membuka mata Majlis Sukan Negara (MSN) betapa badminton sekali lagi wajar menerima sokongan padu khususnya dalam menyediakan pendedahan kepada barisan pelapis bagi mendukung cabaran pada Sukan Olimpik London pada 2012.

Dua lagi sukan harus diberi keutamaan adalah memanah. Trio negara - Wan Khalmizan Wan Abd Aziz, Cheng Chu Sian dan Muhammad Marbawi Sulaiman jelas kekurangan pengalaman biarpun pada satu ketika dilihat mampu mencipta kejutan tetapi kegugupan pada detik penting, memusnahkan semuanya.

Pelumba basikal muda, Azizulhasni Awang, 20, juga menunjukkan potensi selaku yang terbaik apabila menjadi satu-satunya peserta Asia dalam suku akhir acara pecut individu.

Malah, anak muda dari Dungun, Terengganu itu tidak menunjukkan rasa gerun biarpun terpaksa berdepan juara dunia acara pecut dan keirin, Chris Hoy dari Britain di suku akhir.

Perancangan jitu harus sudah ada untuk 2012 jika tidak mahu kempunan pingat. Apa yang dimahukan adalah kejayaan konsisten, bukan leka dengan kejayaan setakat pingat perak sahaja.


Don't forget to comment when you are done reading

0 comments: